Loji Rawatan Air Telibung II, Tuaran, Sabah
TUARAN: Peruntukan tambahan dalam membantu menyelesaikan isu bekalan air di Sabah akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi selepas pasukan teknikal mengemukakan anggaran kos yang diperlukan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah peruntukan tambahan akan diumumkan selepas pasukan teknikal yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengemukakan laporan mengenai jumlah kos diperlukan bagi menyiapkan sepenuhnya Projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II.

“Lawatan ini bagi melihat projek bekalan air khususnya di kawasan Tuaran yang agak meruncing. Projek (LRA Telibong) ini sedang berjalan dan secara keseluruhan telah siap 70 peratus.
“Isu bekalan air ini perlu kita selesaikan memandangkan Perdana Menteri juga telah memberi amaran kepada saya untuk mencari penyelesaian kerana kawasan ini agak kritikal bukan sahaja untuk industri tapi juga penduduk setempat.
Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam itu berkata, selepas menerima anggaran kos itu nanti, beliau akan cuba berbincang di peringkat Persekutuan bagaimana untuk mendapatkan dana tambahan kerana peruntukan bagi projek tersebut berbentuk pinjaman.
“Cabaran kita adalah dari segi peruntukan kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan kepada kerajaan negeri. Dalam memberi pinjaman ada syarat tertentu yang telah ditetapkan namun, kita akan berusaha untuk membantu,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, cabaran lain yang dihadapi dalam mempercepatkan pelaksanaan LRA Telibong II itu adalah tapak projek yang memerlukan kordinasi antara dua agensi iaitu JKR dan JANS kerana ia membabitkan laluan Lebuhraya Pan Borneo.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM320 juta dalam membantu menyelesaikan isu air di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya memaklumkan kira-kira RM200 juta daripada jumlah peruntukan yang diluluskan itu telah diterima pada Disember tahun lalu dan kerja-kerja berkaitan telah pun dimulakan.


































