Shahelmey (depan, empat kiri) bersama wakil-wakil sekolah pada Majlis Penyerahan Sumbangan Smart TV di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat, Putatan, hari ini.
PUTATAN: Pendigitalan pendidikan di sekolah-sekolah dalam daerah Putatan terus diperkasakan, kata ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, ianya penting kerana pendigitalan adalah sangat berkait rapat dengan kehidupan masa kini termasuklah pendidikan.
“Dengan evolusi digital masa kini, kita tidak ingin pelajar-pelajar yang bersekolah di daerah Putatan ketinggalan disebabkan oleh kekurangan prasarana di sekolah masing-masing.
“Melalui sumbangan-sumbangan prasarana seperti ‘smart Tv’ ini diharapkan akan dapat menggalakkan dan membantu pihak sekolah dalam usaha pembelajaran secara digital” ujar Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya itu.
Shahelmey berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan ‘Smart Tv’ kepada sekolah-sekolah dalam daerah Putatan di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat, di sini, hari ini.
Shahelmey berkata, sebagai Ahli Parlimen Putatan pihaknya sentiasa terbuka untuk membincangkan isu-isu pendidikan dalam daerah Putatan demi untuk pembangunan masyarakat.
“Pihak sekolah sentiasalah berkomunikasi dengan kami berhubung apa-apa juga isu pendidikan di dalam Parlimen Putatan agar kita sama-sama dapat membangunkan masyarakat melalui agenda pendidikan,” jelasnya.
Sebanyak 10 buah sekolah dalam daerah Putatan mendapat sumbangan tersebut yang disumbangkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Awang Mohd. Kadir Awang Kanak; Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III, Mohd Sufian Matin; dan Mahadzir Abdul Majid; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat.


































