Kerja-kerja pembaikan Jalan Kampung Jaya Baru, Kinabatangan
KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengarahkan pihak konsesi untuk menggerakkan pasukan kerja dan jentera kerja untuk melakukan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya ke atas Jalan Kampung Jaya Baru di Kinabatangan agar keadaan jalan itu lebih selamat untuk digunakan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan mengenai keadaan jalan raya yang rosak itu.
Beliau menyatakan telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah JKR kelmarin mengenai isu tersebut.

Shahelmey Yahya
“Untuk makluman umum, jajaran jalan Kg. Jaya Baru tersebut adalah termasuk di dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang akan dinaik taraf dijangka bermula dalam tahun ini.
“Keadaan struktur jalan memang sudah uzur dan hanya dapat dipulihkan dengan melaksanakan kerja menaik taraf secara major (melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo kelak). Keadaan cuaca yang basah akibat musim hujan dengan jumlah trafik yang tinggi terus memberi tekanan kepada struktur jalan yang telah lama melebihi had tempoh reka bentuknya (lemah).
“Namun demikian, sementara menanti bermulanya pakej Lebuhraya Pan Borneo tersebut, pihak JKR melalui konsesi yang dilantik diarah untuk melakukan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahelmey berkata, beliau juga telah meminta Pengarah JKR meminta kerjasama semua jurutera daerah dan jurutera penyelengaraan jalan beserta syarikat-syarikat konsesi penyelengaraan jalan untuk sentiasa proaktif dalam memantau keadaan jalan-jalan di bawah jagaan mereka dari masa ke semasa.
“Laporan-laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemas kini untuk tujuan pengurusan dan keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ianya menjadi kekangan keperluan kerja,” katanya.


































