Hajiji (kiri) dan Juliah (kanan) bergambar bersama pasangan pengantin diraja, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam, kelmarin.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan isteri Datin Seri Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Persantapan Diraja sempena Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah binti Adam di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, kelmarin.
Pada Ahad, Hajiji dan Juliah menghadiri Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
Majlis itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M. Jasni.
Majlis gilang gemilang yang diadakan selama 10 hari bermula 7 Januari yang lalu diisi dengan pelbagai istiadat Diraja yang telah dilangsungkan sejak turun temurun.


































