Tangkap layar video dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke laut selepas dipercayai berlaku pertengkaran antara mereka di Jambatan Pulau Pinang, petang kelmarin. – Utusan/Sumber Media Sosial
GEORGE TOWN: Seorang pengguna jalan raya nekad terjun dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan pasangan lelaki dan wanita yang terjatuh ke laut, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai yang mana pasangan terbabit dikatakan bertengkar sebelum dilihat terjatuh ke laut.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.49 petang kelmarin dan operasi menyelamat melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.
Menurutnya, dua mangsa iaitu lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 30-an sebelum itu menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna putih.
“Ketika itu, terdapat seorang lelaki yang juga orang awam berada di tempat kejadian bertindak terjun untuk menyelamatkan mangsa, namun pada ketika itu bot nelayan juga berada di lokasi.
“Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam terbabit dan kemudiannya dibawa naik ke atas bot nelayan ke Jeti Batu Uban,” katanya di sini malam tadi.
Jurucakap itu menambah, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 8.35 malam.


































