Liew (kiri) memberikan kalendar 2024 kepada Yasmine, pelancong Finland, di Pasar Minggu Jalan Gaya.
KOTA KINABALU: Pengusaha gerai makanan yang beroperasi di Pasar Malam Api-Api di Jalan Gaya pada setiap hari Jumaat dan Sabtu diingatkan supaya membuang minyak masak terpakai mereka dengan cara yang betul, tanpa mengotorkan Jalan Gaya.
ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew berkata demikian selepas menerima aduan daripada pengusaha gerai Pasar Minggu Jalan Gaya semasa lawatan Tahun Baharu Cina ke pasar mingguan itu hari ini.
Menurut pengusaha gerai yang terjejas, minyak yang dibuang telah dicurahkan ke dalam longkang kecil (di sepanjang jalan), yang mengalir ke dalam longkang bawah tanah.
“Minyak bertakung semalaman bukan sahaja mengotorkan tempat itu tetapi juga mengeluarkan bau busuk pada pagi Ahad. Ia sangat tidak menyenangkan,” keluh mereka.

Bercakap kepada pemberita, ketika ditemui selepas walkabout itu, Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri menyeru semua pengusaha gerai supaya mengekalkan persekitaran yang bersih pada setiap masa demi kepentingan kesihatan awam.
“Memastikan Jalan Gaya bebas daripada minyak masak atau sisa makanan adalah untuk kebaikan semua orang. Saya berharap semua pengusaha gerai dapat menggunakan tong sampah percuma yang diberikan kepada mereka sebelum ini,” katanya.


































