Arifin (kiri) melawat kelas pembelajaran di sekolah berkenaan.
KOTA KINABALU: Peruntukan berjumlah RM500 ribu diperlukan bagi pembinaan bangunan baru menggantikan bilik darjah usang Sekolah Kebangsaan (SK) Darau.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, cadangan bangunan baru yang mempunyai tiga tingkat dengan 36 bilik darjah bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 1,277 pelajar dan 100 murid prasekolah di sekolah tersebut.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sentiasa memantau dan membuat pembaikan di sekolah ini namun ada kelas yang memerlukan pembinaan bangunan baru bagi menggantikan blok kelas-kelas pembelajaran yang usang.

Arifin (dua dari kiri) mendengar taklimat dari guru SK Darau dalam rangka lawatan tersebut.
“RM500 ribu yang dimohon pada Rancangan Malaysia Ke-13 oleh JPNS itu merangkumi keseluruhan pembinaan bangunan termasuklah pendawaian di blok-blok lain sekolah yang kelihatan sangat daif dan memerlukan pembaikan segera.
“Selain itu, bagi pihak Kerajaan negeri, kita turut membantu memperkasakan pendidikan STEM iaitu dasar pendidikan yang diperlukan oleh anak-anak kita mendekati dan mempelajari subjek sains, matematik, kejuruteraan dan elektronik yang kita sediakan di sekolah ini,” katanya ketika ditemui media selepas melawat beberapa buah blok bangunan SK Darau yang dilaporkan daif dan tidak selamat untuk digunakan, pada Khamis.
Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan turut melawat Sekolah Agama Negeri, Tebobon seterusnya mencadangkan perlaksanaan pembinaan bangunan baru bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 200 murid dan guru di sekolah berkenaan.
Hadir sama, Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin dan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Suhaimi Matshah.


































