Masiung Banah
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN), Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi perumpamaan bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus bukan seperti ‘ayam bertelur riuh sekampung’.
Sebaliknya beliau berkata, Kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor buat kerja tanpa heboh-hebohkan kepada umum tetapi akhirnya menunjukkan hasilnya kepada rakyat.
Beliau menyimpulkan beberapa perkara selepas meneliti dan mendengar Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, iaitu yang pertama, ini menunjukan komitmen Kerajaan Negeri ini yang walaupun di luar didengar bahawa Kerajaan di bawah pimlinan ADUN Sulaman tidak bermaya, tidak cergas, tidak bersuara tetapi Kerajaan ini adalah kerajaan diam-diam tetapi bekerja.
“Kita bukan ayam betina yang bertelur. Kalau ayam betina yang bertelur, dia bertelur sebiji satu kampung mendengar suaranya (berkokok). Tidak, Yang Berhormat ADUN Sulaman dia diam-diam tetapi bekerja dan hari ini adalah hasil daripada kerja beliau,” kata Masiung ketika membahas pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masiung berkata, banyak isu membabitkan bekalan elektrik berlaku di Sabah disebabkan pertambahan penggunaan tenaga elektrik dengan kemasukan pelabur yang memulakan perniagaan di negeri ini.
“Kerajaan faham bahawa kadar penggunaan dari hari ke hari semakin bertambah apatah lagi dengan kestabilan politik dan keyakinan pelabur luar terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah, maka berduyun-duyun pelabur datang melabur membuka kilang dan ini memerlukan tambahan penggunaan elektrik.
“Jadi kalau kita tanya apa cadangan, apa tindakan Kerajaan Negeri, inilah dia.
“Dengan bermulanya mengambil alih kuasa daripada Kerajaan Persekutuan sebab selepas ini nanti semua perancangan akan dilaksanakan seperti yang sudahpun dibaca oleh Ketua Menteri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Masiung memaklumkan pengambilalihan kuasa mengawal selia elektrik Sabah bukan melibatkan kenaikan tarif elektrik di negeri ini.
“Di luar sana bertanya, adakah selepas ini Kerajaan Negeri akan menaikkan tarif elektrik, bil elektrik adakah akan melambung naik?
“Menurut pandangan saya, yang akan kita lulus hari ini tidak ada kenaikan tarif elektrik, jadi rakyat di luar jangan takut.
“Kita tidak meluluskan kenaikan tarif elektrik tetapi sekadar untuk meluluskan mengambil alih kuasa kawal selia elektrik di Sabah,” tambahnya.


































