Pravithra dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-25.
KOTA KINABALU: Cemerlang dalam akademik, aktif dalam kokurikulum dan giat dalam aktiviti kepimpinan membolehkan Pravithra A/P Manokaran, graduan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-25.
Beliau menerima anugerah tersebut pada sidang pertama konvokesyen yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin yang merupakan Canselor UMS.
Pravithra, 23, anak jati Pulau Pinang, mengekalkan kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian dengan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester, sekali gus berjaya merangkul gelaran kelas pertama Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi) dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86.
Beliau ketika ditemui media memberitahu pada mulanya tidak menyangka akan terpilih untuk menerima anugerah tersebut.
“Saya hanya mengetahui tentang penganugerahan ini setelah dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp penerima anugerah untuk konveksyen.
“Tips yang boleh saya kongsi untuk kekalkan kecemerlangan antara lain pentingnya untuk menyusun atur waktu mengikut keutamaan kerana ini membolehkan saya menyiapkan tugasan sebelum tarikh tamat tempoh serta mengurangkan membuat tugasan kuliah pada saat akhir,” katanya.
Pavithra menambah, aktif dalam aktiviti persatuan turut membantu dirinya merangkul anugerah tersebut.
“Sepanjang empat tahun di UMS, saya memegang beberapa portfolio jawatan persatuan antaranya sebagai Exco Bioteknologi, Setiausaha II dan Timbalan Presiden I bagi kelab fakulti dan ketua blok bagi dua kolej kediaman di sini.
“Cabaran dalam penglibatan pelbagai aktiviti adalah komunikasi kerana segala maklumat atau mesej perlu disampaikan dengan baik, dan salah faham penyampaian maklumat boleh berlaku akibat kelemahan dalam komunikasi,” ujarnya.
Beliau turut berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana walaupun sudah bekerja dalam sektor akuakultur di Petaling Jaya.


































