Hajiji (lima dari kiri) bergambar bersama alumni kelas pertama tahun 1963 Native Volunteer School Bundung pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung Tuaran.
TUARAN: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, komitmen Kerajaan juga seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras kedua pelan berkenaan.
Sebab itu katanya, banyak inisiatif yang telah beliau perkenalkan dan berikan kepada pelajar negeri ini dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran hingga ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, semua inisiatif itu semata-mata untuk membantu dan memastikan kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan, kerana mereka merupakan modal insan yang penting dan amat diperlukan untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih membangun.
“Kerajaan juga mahu memastikan anak-anak sama ada berada di bandar atau luar bandar negeri ini mendapat kesamarataan akses pendidikan yang sempurna dengan keadaan sekolah yang baik dan selesa.

Hajiji (tengah) bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (dua dari kiri), Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam dan tetamu lain memotong kek sempena sambutan Jubli Intan Sekolah Kebangsaan Bundung Tuaran.
“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan yang tinggi, mereka dapat bersaing dan berjaya, sekaligus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sabah khususnya.
“Kerajaan Negeri juga terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun depan, untuk melaksanakan pelbagai program antaranya berkaitan pendidikan dan latihan”, katanya pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, di sini hari ini.
Menyentuh sekolah-sekolah daif di Sabah, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan sekolah-sekolah tersebut.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, dan tidak membiarkan mereka terjebak dengan kegiatan dan anasir negatif yang boleh merosakkan kehidupan dan masa depan mereka.

Hajiji (tengah) diiringi oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim melakukan gimik perasmian sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung Tuaran.
Sejajar dengan usia Jubli Intan SK Bundung, Hajiji mahu sambutan itu menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan insaniah, serta bersama-sama membangunkan negeri ini pada masa hadapan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk membantu membaiki beberapa kemudahan di SK Bundung yang telah berusia 60 tahun, dan diketegorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) luar bandar.


































