Abidin (kanan) membincangkan sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (depan, tengah), Pembantu Menteri keada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (belakang, dua kiri), dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding (dua kanan) pada persidangan DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan asas yang mencukupi kepada rakyat tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, pelbagai program pembangunan sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), baik dibiayai oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sebagai perincian, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini bagi mengatasi isu bekalan air di Sabah adalah seperti yang berikut:
* Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah diperuntukkan dengan RM300.25 juta sebagai tindakan penyelesaian jangka pendek merangkumi 20 projek keutamaan untuk mengurangkan Non Revenue Water (NRW) daripada 59.57 peratus kepada 53 peratus dalam tempoh 24 bulan. Projek-projek tersebut meliputi skop dan komponen kerja penggantian pam-pam air dan alat jana kuasa di loji-loji rawatan air, naik taraf kapasiti bagi muka sauk dan loji rawatan air, mitigasi perubahan iklim dan operasi pembasmian sambungan haram di beberapa daerah, antaranya Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Beaufort, Tawau dan Sandakan.
* Penambahan kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon, Papar iaitu daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 juta liter sehari (JLH) yang dijadualkan siap pada Ogos 2026 adalah dijangka akan menyelesaikan isu bekalan air di kawasan selatan Kota Kinabalu seperti Putatan, Kinarut dan Papar.
* Pelaksanaan Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II daripada 80 juta liter sehari (JLH) kepada 160 juta liter sehari (JLH). Pada masa ini, projek ini sedang dalam tempoh pengujian dan pentauliahan (Testing and Commisioning) untuk komponen dalam Loji Rawatan Air. Dijangka pada awal Disember 2024, loji rawatan air baharu ini akan dikendalikan dalam separa pengeluaran iaitu sebanyak 10 juta liter sehari (JLH) bagi menangani masalah bekalan air di kawasan-kawasan kritikal terlebih dahulu seperti di Bandar Sierra, Sepanggar, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), SK Nexilis, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitarnya. Bekalan sepenuhnya hanya akan dapat disalurkan apabila komponen saluran paip utama disiapkan sepenuhnya kelak.
* Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan (FS) untuk pembinaan empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dan empangan di Kaiduan, Papar. Sekiranya kedua-dua projek berimpak besar ini direalisasikan kelak, ia mampu menampung keperluan untuk 100 tahun bagi Utara, Tengah dan Selatan Kota Kinabalu termasuklah Pedalaman Bawah iaitu dari Kimanis, Bongawan, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan kawasan perindustrian Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dengan pelaksanaan secara berperingkat Loji Rawatan Air Fasa I untuk keperluan sehingga 2050.

Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor disambut oleh ADUN Karambunai, Datuk Yakubah Khan sebelum bermulanya persidangan DUN hari ini.
* Selain pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang berkuat kuasa pada 03 Januari 2024, inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di negeri ini adalah seperti yang berikut:
* Pembangunan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 atau SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan pada 19 September 2023. Fokus utama pelan ini adalah bagi menangani isu trilemma tenaga iaitu memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap (energy security), liputan yang menyeluruh pada harga mampu milik dan pertimbangan kepada kelestarian alam sekitar. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam pelan ini, ianya akan dipantau di peringkat tertinggi iaitu Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri.
* Pembinaan Stesen Jana kuasa Bebas (IPP) Ranhill Sabah Energy (RSE) 3 di Kimanis yang berkapasiti terpasang 100 megawatt (MW). Ia dijangka mula beroperasi pada Mac 2026 dan akan menyalurkan tenaga terus kepada Sistem Grid Negeri Sabah.
* Penambahan kapasiti penjanaan bagi menangani isu kekurangan bekalan elektrik di grid Sabah melalui pelaksanaan projek-projek stesen jana kuasa baharu seperti berikut:
a) loji jana kuasa gas engine berasaskan gas asli berkapasiti 100 MW di Kimanis yang dijadualkan siap pada 2025;
b) loji jana kuasa kitar padu berasaskan gas asli berkapasiti 100 MW di Kimanis yang dijadualkan siap pada 2027;
c) loji hidroelektrik (run of river) berjumlah kapasiti 170 MW di Sg. Padas dan Maligan yang dijangka siap pada 2028; dan
d) loji hidroelektrik empangan (hydroelectric dam) berkapasiti 180 MW di Ulu Padas yang dijangka siap pada 2029.
* Pelaksanaan projek-projek tenaga boleh baharu yang lain adalah seperti yang berikut:
a) Projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar) yang sedang dilaksanakan dengan jumlah kapasiti 62 MW dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024;
b) Program Tarif Galakan (Feed in Tariff) dari sumber mini hidro dan biogas dengan jumlah kapasiti 37 MW pada tahun 2024;
c) Projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar) yang akan dilaksanakan dengan jumlah kapasiti 100 MW pada 2025 dan 100 MW pada 2026; dan
d) Loji hidroelektrik kecil (teknologi low head) berjumlah kapasiti 45 MW di Sg. Padas dan Pegalan yang dijangka siap pada 2026.
* Projek sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Sarawak dengan jumlah kapasiti 30 hingga 50 MW yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2025.
* Pengukuhan sistem talian penghantaran grid Sabah melalui projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL) 275 kilovolt sepanjang 331km yang menghubungkan PMU Mengalong, Sipitang dan PMU Tawau. Projek ini kini dalam proses rundingan dengan pihak Kerajaan Persekutuan untuk menentukan mekanisme pembiayaannya dan dijangka akan bermula pada tahun hadapan bagi memastikan ianya siap sepenuhnya pada tahun 2030.

Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam sebelum bermulanya persidangan DUN hari ini.
Abidin berkata, dalam aspek pembangunan infrastruktur jalan raya, Kerajaan Negeri juga komited untuk menyelesaikan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion dalam tahun ini.
Katanya, setakat ini Surat Setuju Terima (SST) bagi empat (4) daripada baki 19 pakej kerja tersebut iaitu WP12, WP13, WP14 dan WP16, akan dikeluarkan sebelum penghujung tahun 2023. Manakala, SST bagi baki 15 pakej kerja disasarkan untuk dikeluarkan selewat-lewatnya menjelang bulan Mac 2024.
“Selain projek-projek yang telah saya sebutkan tadi, antara projek-projek infrastruktur lain yang sedang dalam pelaksanaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuklah projek-projek Loji Rawatan Kumbahan (LRK), Program Jalan Luar Bandar (JALB), Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Program Rancangan Tebatan Banjir (RTB),” katanya kepada Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) yang bertanya kepada Ketua Menteri adakah Kerajaan telah merangka strategi jangka masa pendek atau pelan tindakan yang berkesan untuk dilaksanakan dalam usaha menangani dan menyelesaikan masalah prasarana dan infrastruktur keperluan asas rakyat seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.


































