Amisah Yassin
KOTA KINABALU: ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin meminta agar Kerajaan dan pihak bertanggungjawab memantau serta menaik taraf tandas awam di seluruh Sabah, seiring dengan keperluan perkembangan industri pelancongan negeri.
Katanya, tandas awam adalah perkara penting yang digambarkan sebagai imej yang diperhatikan dan dinilai terutamanya bagi sesuatu tempat dan premis perniagaan serta kediaman.
“Kita sering dengar orang-orang lama berkata, hendak tengok tahap pembersihnya seseorang itu, tengok saja tandasnya, bagaimana dia menjaga tandasnya, maka disitu kita dapat gambaran tahap kebersihan diri seseorang.
“Hal yang sama juga dengan kemudahan tandas awam kita tidak kira di lokasi tumpuan umum, premis perniagaan, premis jualan dan restoran, bahkan juga hotel serta rumah tumpangan yang sememangnya perlu dan penting untuk pemiliknya menyediakan kemudahan tandas yang bersih dan lengkap,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Amisah berkata, aspek kebersihan tandas awam adalah cerminan yang akan diperkatakan oleh penggunanya, termasuk pelancong luar.
“Berdasarkan kajian World Toilet Organisation (WTO), secara purata, seseorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau enam hingga lapan kali sehari.
“Bayangkan, betapa pentingnya fasiliti tandas dalam kehidupan harian kita.
“Namun, sejauh mana masyarakat kita meletakkan fasiliti ini sebagai satu keperluan harian yang sangat penting, dan seramai manakah di antara masyarakat kita yang mempunyai rasa kepunyaan terhadap kemudahan tandas awam yang disediakan?” katanya.
Kata Amisah lagi, kaedah terbaik untuk dilakukan adalah semua pihak perlu segera memikirkan kaedah terbaik untuk memupuk budaya dan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan tandas awam.
“Kita mesti mula dari sekarang, segera, secepatnya, kita didik dan pupuk amalan untuk menjaga kebersihan tandas awam, tidak kira dimana sahaja kita singgah untuk gunakan tandas awam, kita pegang kepada prinsip tandas awam adalah hak bersama dan semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan tandas awam, serta kemudahan yang sedia ada, dijaga dengan baik, untuk kesenangan bersama.
“Didik anak-anak kita, generasi kita yang akan datang, tentang kepentingan dan tatacara penggunaan tandas awam secara berhemah dan betul, bak kata pepatah, ‘melentur buluh biar dari rebungnya.
“Boleh dikatakan semua tempat awam ada tandas untuk kegunaan bersama, tidak kira yang disediakan secara percuma ataupun berbayar.
“Tapi yang menyedihkan adalah apabila keadaan kemudahan tandas awam di lokasi-lokasi ini, yang menjadi tumpuan ramai, ada kalanya tahap kebersihan serta kemudahannya belum mencapai tahap yang memuaskan, ini perlu diubah segera dan diatas segera oleh pihak terlibat, sama ada majlis perbandaran atau pihak persendirian pemilik premis,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Amisah juga menegaskan bahawa industri pelancongan Sabah yang pesat berkembang juga menjadi faktor keperluan untuk usaha menaik taraf tandas awam segera dilakukan.
Katanya, pelancong asing akan menilai dan mungkin beranggapan negatif kepada masyarakat kita jika tandas awam yang dikunjungi mereka berada di tahap yang sangat tidak memuaskan.
“Kita ada pelbagai pusat tumpuan pelancong, tempat menarik, lanskap yang indah dan pemandangan yang mempesonakan.
“Namun, kemudahan asas yang penting ini, tandas awam, tidak mencapai tahap fasiliti serta kebersihan yang memuaskan, bayangkan, apa yang akan diperkatakan dan difikirkan oleh pelangcong luar ini, dan tanggapan itu akan terus diperkatakan sehingga mereka kembali ke negara asal mereka, secara logiknya, tidak mustahil,” tambahnya.
Amisah mencadangkan agar pihak kerajaan membuat pelaburan bagi infrastruktur tandas awam di kawasan tumpuan pelancongan dan kawasan bandar, serta penyelenggaraan berkala bagi memastikan sebarang kerosakan dapat dibaiki segera.
“Jika boleh, kita wujudkan amalan mesra alam dalam tandas awam kita di semua kawasan, kita kongsikan mesej positif yang dilekatkan di dinding tandas seperti peringatan penjimatan air, pam tandas selepas digunakan, gunakan paip air yang mengesan pergerakan (paip automatik) yang dapat menjimatkan air dan mengurangkan masalah pembaziran bila pili air tidak ditutup rapi.
“Selain itu, fasiliti tandas awam juga perlu mesra semua pengguna, termasuk golongan mereka yang kelainan upaya (OKU), dan mempunyai beberapa bahasa yang memudahkan pembacaan serta difahami oleh pelancong asing yang tidak fasih berbahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) atau berbahasa Inggeris.
“Pintu tandas untuk tandas kegunaan OKU perlu lebih luas dan ruang dalam tandas juga perlu sesuai dengan saiz lebar kerusi roda mereka,” katanya lagi.
Amisah turut mencadangkan kepada pihak kerajaan agar tindakan tegas dan denda diberikan kepada pesalah laku yang melakukan vandalisme atau kerosakan kepada tandas awam.


































