Seorang penduduk kampung menggunakan sampan untuk bergerak di kawasan rumahnya setelah ditenggelami air banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
PETALING JAYA: Seramai 605 mangsa melibatkan 160 keluarga berada di pusat pemindahan sementara ekoran banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan, negeri Terengganu paling teruk terjejas apabila seramai 510 mangsa terkesan melibatkan 128 keluarga yang berlindung di 10 pusat pemindahan setakat tengah hari tadi.
Seramai 226 orang berlindung di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu, paling ramai berbanding pusat-pusat lain di Kuala Nerus, Marang, Besut, Dungun dan Kemaman.
Keadaan di Kelantan pula masih dalam tahap terkawal apabila hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Pasir Mas, Kelantan menempatkan 49 manga meliputi 17 keluarga.
Di Selangor, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Balai Raya Rantau Panjang, Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor melibatkan 46 mangsa meliputi 15 keluarga.
































