Masiung (tengah) mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di Sandakan kelmarin.
SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terus popular dengan ramai ahli pembangkang telah beralih arah kepada parti, kata Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah.
Masiung yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut berkata, di kawasan Kuamut sahaja parti itu merekodkan lebih 4,000 ahli termasuk 1,000 keahlian baharu yang sedang dalam proses pendaftaran.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat 55 cawangan parti itu telah dibentuk di 12 kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Sementara lima cawangan lagi yang mempunyai kira-kira 1,000 ahli akan didaftarkan ke ibu pejabat parti sebelum akhir tahun ini, katanya, sambil menambah cawangan baharu yang akan didaftarkan itu ialah cawangan Jesselton Kota Kinabalu, Ruminding, Lumandai, Kimanimus dan Bobuluh.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Masiung berkata, cawangan Alitang dalam PDM Penangah merekodkan pendafatran ahli paling ramai iaitu 173 orang, diikuti cawangan Entilibon Asal dengan 129 ahli dan Penangah, 109 ahli.
“Kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas keahlian, dan tidak menerima ahli yang telah berdaftar dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita dalam Gagasan Rakyat mempunyai sistem yang cekap bagi mengenal pasti keahlian individu supaya tidak berlaku sebarang pertindihan ahli dari parti lain dalam GRS.
“Sebaliknya, sasaran kami adalah meraih sebanyak mungkin ahli-ahli daripada parti pembangkang terutama dari UMNO, Warisan dan Parti Kesajetharaan Demokratik Malaysia (KDM),” katanya.
Masiung yang juga ADUN Kuamut menjelaskan kebanyakan individu terutama ahli-ahli UMNO, Warisan dan KDM datang sendiri ke pejabat parti untuk menyertai Gagasan Rakyat.
“Kita tidak boleh menolak penyertaan mereka kerana ia pilihan mereka sendiri mahu beralih arah kepada Gagasan Rakyat.
“Sebahagian ahli pembangkang itu juga telahpun membentuk cawangan Gagasan Rakyat sebagai solidariti bahawa mereka menolak parti dalam blok pembangkang.
“Kalau di kawasan Kuamut kita bagi syarat supaya setiap permohonan menjadi ahli parti mereka hendaklah mengemukakan salinan kad pengenalan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan kita mengesan status keahlian mereka sebelum mereka menandatangani sendiri borang keahlian dalam Gagasan Rakyat,” jelasnya.


































