Masidi menyampaikan bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah kepada Uskup Agung, Datuk John Wong yang mewakili gereja-gereja Katolik.
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menyampaikan bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM21.6 juta kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pantai Barat Selatan hari ini.
Dari jumlah tersebut, RM7.77 juta diagihkan kepada 129 buah sekolah, RM10.92 juta kepada 531 buah gereja, RM2.63 juta kepada 51 buah tokong, dan RM270,000 kepada 4 buah kuil.
Sesi pemberian bantuan ini merupakan yang pertama untuk Zon Pantai Barat Selatan yang meliputi daerah-daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan.
Ini akan diikuti dengan lima lagi sesi yang diadakan untuk zon-zon lain termasuk Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Pantai Timur (Sandakan) dan Pantai Timur (Tawau).

Masidi menyampaikan bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah kepada Guru Besar SK Stella Maris, James Johnny.
Dalam ucapannya, Masidi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap sektor masyarakat Sabah mendapat manfaat yang saksama dan adil.
“Saya ingin menekankan pentingnya institusi pendidikan dalam membentuk modal insan yang berilmu demi pembangunan Sabah. Selain itu, badan keagamaan juga memegang peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi di kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah,” kata beliau pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Bangkuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini.
Masidi juga menegaskan kepentingan dasar keadilan dan kesaksamaan Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuan tanpa mengira kaum atau agama.
“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban sekolah-sekolah dan badan keagamaan dalam pembangunan dan pembaikan infrastruktur mereka,” tambah Masidi.
Beliau turut mengumumkan bahawa permohonan bantuan kewangan untuk tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024 dan menyeru sektor swasta untuk memberikan sokongan kepada inisiatif ini.
Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM54.05 juta, dengan RM23.00 juta untuk sekolah-sekolah dan RM31.5 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.
Sejumlah 1,810 kelulusan diberikan, yang terbahagi kepada 346 sekolah dan 1,464 badan keagamaan bukan Islam.






























