Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Pelaksanaan baki fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diharap dapat dilakukan dengan pelantikan semua kontraktor pelaksana dapat dilengkapkan pada akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang berasa lega mendengar bahawa RM15.7 billion telah diperuntukkan dalam Bajet 2024 bagi projek yang sudah lama dinantikan ini berkata, Lebuhraya Pan Borneo ini penting bagi Sabah kerana ianya merupakan ‘game changer’ bagi Sabah bila ianya siap kelak.
“Besarlah harapan kami agar pemilihan kontraktor-kontraktor nanti adalah berdasarkan kriteria kelayakan yang telah diteliti sepenuhnya,” katanya.
Selain itu beliau berharap Kerajaan Persekutuan juga dapat meningkatkan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan dan cerun-cerun bagi memberi keadaan jalan dan cerun yang lebih selamat dan selesa disediakan di Sabah.
“Sudah 60 tahun Sabah menjadi rakan kongsi pembentukan Malaysia dan sudah banyak jalan-jalan di Sabah yang telah melebihi jangka hayat reka bentuk dan memerlukan untuk dinaik taraf,” kata Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah pada sesi perbahasan Dasar Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, kelmarin.
Berkenaan isu air di Sabah, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat memohon agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat melaksanakan banyak cadangan projek-projek bekalan air luar bandar yang telah lama tertunggak.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan ini, ianya sudah tentu dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air luar bandar di Sabah kelak.
Beliau berharap peruntukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa membentangkan Belanjawan 2024 dapat diperincikan dan diselaras bersama Jabatan Air Negeri Sabah dan ianya dapat dilaksanakan dalam tahun hadapan.


































