Abdul Kassim (duduk, tengah) dan Timbalan Pengerusi George Teo (duduk, dua dari kanan) bersama jawatankuasa penganjur.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan Persidangan Agung kali pertamanya pada 13 November nanti.
Pengerusi penganjur, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, seramai 5,000 perwakilan daripada 73 bahagian di Sabah dan satu bahagian di Labuan dijangka hadir.
“Perhimpunan Agung yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) akan dirasmikan oleh Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur di ibu pejabat Gagasan Rakyat di Alamesra, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, Gagasan Rakyat kini mempunyai seramai 300,000 ahli berdaftar.
“Ini menunjukkan Gagasan Rakyat kian mendapat tempat dihati rakyat walaupun belum sampai satu tahun penubuhan,” katanya.
Abdul Kassim berkata, ia adalah bukti bahawa perjuangan Gagasan Rakyat dibawah pimpinan Hajiji diterima baik oleh rakyat.
Katanya, rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka turut hadir pada perasmian persidangan itu nanti.


































