Sammy Newton
PENAMPANG: Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes rusuhan di sebuah pusat hiburan di sini telah ditahan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Tangkapan yang dibuat adalah bersabit laporan polis Penampang/RPT/9130/23 bertarikh 8 Oktober 2023 yang dibuat oleh mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan, berumur 23 tahun.
“Dalam laporan berkenaan, mangsa mendakwa dirinya dipukul oleh sekumpulan individu lelaki yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kecederaan di hidung dan bahagian kepala mangsa, di sebuah pusat hiburan di Jalan Kobusak, Penampang.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menahan kesemua suspek yang terlibat di sebuah kedai gunting rambut di Plaza Kingfisher, Kota Kinabalu pada 19 Oktober 2023, pada jam 5.06 petang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Sammy, kesemua suspek merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan 21 hingga 44 tahun dan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman jika sabit kesalahan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis meminta saksi di tempat kejadian untuk tampil memberikan maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Polis juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang rusuhan atau gaduh gempar,” jelas beliau.


































