Hajiji bersama-sama pemimpin dan perwakilan Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu di Dewan Masyarakat Kiulu hari ini.
KIULU: Pembinaan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu yang menelan belanja RM5 juta akan dimulakan tidak lama lagi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertindak segera untuk mengangkat Kiulu menjadi sebuah Daerah Kecil dalam tempoh tiga bulan selepas berkuasa dan memastikan pembinaan sekretariat daerah kecil itu.
“Kita akan membangunkan Kiulu sebagai pusat pelancongan kerana ia mempunyai antara pengendali pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) paling banyak di negeri ini, yang mana Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai telah bekerja keras untuk menjadikan Kiulu sebagai hab pelancongan CoBT,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kiulu di Dewan Masyarakat, di sini, hari ini.

Hajiji memukul gong untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut menggesa ahli parti supaya berwaspada dengan budaya fitnah yang berleluasa dalam media sosial.
“Saya mahu semua ahli kita membetulkan semua tuduhan palsu dalam media sosial yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan telah mencapai banyak kejayaan namun ramai yang mahu menafikannya melalui fitnah. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terganggu dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Hajiji menyampaikan watikah pelantikan kepada seorang daripada AJK Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu.
Pengerusi GRS itu berkata, adalah penting bagi Gagasan Rakyat untuk bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk menggagalkan percubaan untuk menggugat kestabilan Kerajaan.
Hajiji juga memberi jaminan akan berjuang untuk semua parti di Kiulu.
Bagaimanapun, sebagai Ketua Menteri, beliau berkata, akan memperjuangkan semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Turut hadir ialah Joniston, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kiulu, Janih Bangud dan pemimpin parti dan komponen termasuk Ketua Setiausaha STAR, Datuk Edward Linggu dan Naib Presiden UPKO, Fairuz Bandar.


































