Masiung (dua dari kanan) dan Abu Bakar menunjukkan sijil pendaftaran Gagasan Rakyat Bahagian Lamag sambil diperhatikan oleh Juhari (kiri) dan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Johaiinizam Haji Johari.
KINABATANGAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mencipta kejutan dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau menyifatkan kemunculan parti tempatan itu merupakan jajaran baharu untuk warga Lamag bangkit mengambil pendekatan drastik menerusi Gagasan Rakyat.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lamag yang diketuai oleh Abu Bakar Gapar di Dewan Sri Lamag, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, tahun 2023 menyaksikan kebangkitan ketara ledakan politik Sabah bersandarkan sambutan luar biasa rakyat kepada parti tempatan itu yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Berdasarkan sambutan positif menerusi perhimpunan pada hari ini, saya percaya akan ada perubahan baharu menyusul di kawasan Lamag menjelang PRN akan datang,” katanya.
Beliau turut menasihati kepimpinan Gagasan Rakyat Lamag agar tidak bergerak secara bersendirian melainkan mewujudkan muafakat bersama parti-parti komponen GRS di kawasan itu.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan turut hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat agung tersebut.


































