Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyangkal dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.
“Tuduhan itu berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan untuk memburukkan nama saya. Pejabat saya akan memberikan kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.
“Permohonan tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn. Bhd., dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya menjawab dakwaan dalam sebuah platform media sosial itu.
Siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit yang telah digunakan untuk membuat dakwaan itu, katanya.
Hajiji berkata, pihak berkuasa juga dimaklumkan mengenai akaun Facebook itu, yang menyiarkan dakwaan itu untuk mencemarkan nama baiknya.
“Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.
































