Christoper Mandut
PENAMPANG: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap kepimpinan parti akan memberi ruang lebih ramai di kalangan pemuda untuk diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dan menjadi anggota pentadbiran, kata Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut.
Selain itu, katanya, Pemuda juga mencadangkan supaya Kerajaan Negeri berani menerokai sumber baru untuk meningkatkan pendapatannya, dengan harapan agar anak-anak muda mendapat tempias pembahagian kek ekonomi daripada Kerajaan Negeri apabila Kerajaan Negeri mempunyai lebih banyak sumber pendapatan.
Isu bekalan elektrik dan air
Christoper berkata, Pemuda juga menyarankan agar Kerajaan Negeri menoktahkan atau menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang berterusan di Sabah.
“Pemuda mencadangkan Kerajaan Negeri harus berani menerokai sumber asli arang batu untuk mengatasi masalah bekalan elektrik.
“Selain daripada itu, Kerajaan juga harus membuat lebih banyak inisiatif untuk meneroka sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Justeru itu, Pemuda PBS mengharapkan penurunan kuasa daripada Pusat kepada Kerajaan Negeri agar penyeliaan tenaga dapat dipercepat,” katanya dalam ucapan dasarnya pada Persidangan Perwakilan Pemuda PBS, Kongres PBS ke-38 di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Christoper (kiri) melaungkan laungan “Bersatu” bersama Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dalam Majlis itu
Menyentuh tentang masalah bekalan air di Sabah. Christoper berkata, Pemuda mahu agar masalah ini juga harus diselesaikan dengan kadar segera.
Katanya, pembinaan empangan adalah perkara yang perlu diketengahkan agar pembinaan ini dapat direalisasikan bagi menampung keperluan air dan juga tenaga elektrik
“Walau bagaimanapun, ada sedikit cabaran untuk membina empangan ini iaitu bantahan daripada orang kampung dan juga isu pemilikan tanah. Kami menyarankan agar Kerajaan mencari solusi yang lebih praktikal bagi menangani perkara ini,” katanya.
Isu pendidikan
Christoper turut membangkitkan isu pendidikan dengan berkata, Pemuda percaya bahawa pendidikan adalah perkara asas yang paling utama.
“Kerana satu-satunya cara yang tepat untuk mengubah kehidupan keluarga adalah dengan berjaya dalam pendidikan walaupun dalam keadaan yang sukar. Dengan ini, Pemuda meminta kepada Kementerian Pendidikan supaya melihat dengan lebih serius keseluruhan keperluan pendidikan anak-anak di Sabah.
“Antaranya, pemberian peruntukan penyelenggaraan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, jangan disamakan dengan peruntukan untuk sekolah yang ada di semenanjung Malaysia.
“Pemuda juga tidak mahu kejadian yang mana Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kekurangan dana sehingga hampir tidak dapat menghantar atlit untuk bertanding di Semenanjung oleh kerana kekangan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sangat tidak mencukupi.”

Christoper (tengah) mengiringi Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam menyantuni perwakilan yang hadir
Christoper berkata, rakyat kini menilai seseorang pemimpin itu bukan sahaja melalui daya kepimpinannya tetapi juga melalui latar belakang pendidikannya, justeru, Pemuda Pusat akan menjadi pemudah cara dan seterusnya menjalinkan kerjasama dengan IPT sama ada swasta atau kerajaan bagi tujuan berkaitan isu pendidikan untuk anak muda Sabahan.
“Kita tidak mahu orang melihat Pemuda PBS hanya sebagai AJK untuk memasang bendera semata-mata tetapi Pemuda juga komited untuk menghasilkankan kepimpinan Pemuda PBS yang berani dan berilmu.”
Isu penurunan kuasa daripada Pusat kepada Kerajaan Negeri
Pemuda PBS juga menyarankan dengan keras agar Kerajaan Negeri memperoleh kuasa penuh dalam isu untuk meluluskan projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
Christoper berkata, Pemuda juga bertegas agar Kerajaan Negeri bukan hanya untuk menyegerakan penyediaan dokumen tender tetapi kuasa pemutus akhir juga adalah harus di tangan Kerajaan Negeri supaya kelewatan dapat dielakkan.
“Penurunan peruntukan kepada jabatan-jabatan terutama sekali Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan dan juga jabatan- jabatan yang lain harus disegerakan.
“Pemuda juga ingin menyokong penuh cadangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Akaun Amanah (Persekutuan) Kerajaan Negeri Sabah supaya bila mana peruntukan daripada Kerajaan Pusat yang tidak sempat dibelanjakan pada tahun semasa, maka peruntukan itu harus dimasukkan di dalam akaun amanah ini agar Kerajaan Negeri dapat menggunakan peruntukan tersebut pada bila-bila masa untuk meneruskan perancangan projek yang telahpun diluluskan. Ini supaya pada tahun berikutnya satu jumlah peruntukan baharu dapat dibentangkan tanpa mengurangkan bajet yang terdahulu,” katanya.
Christoper berkata, Pemuda adalah penggerak utama parti dan kerana itu, mereka memohon kepada pihak kepimpinan parti agar mendengar dan meneliti nada denyut hati Pemuda.
“Jangan pula kami dikatakan sebagai Pemuda melawan arus apabila menyuarakan pandangan dan suara-suara pemuda di bawah.
“Suara ini adalah suara pemuda dan ianya harus kita sampaikan. Saya sedar bahawa pandangan ini tidak lah sedap untuk didengar, namun sebagai ketua pemuda yang telah dingkat oleh perwakilan, saya harus bertanggung jawab untuk mengangkat isu ini demi pemuda dan juga untuk kelangsungan parti agar terus relevan dikalangan anak muda.
“Walaupun saya pernah digelar sebagai pemimpin yang OK tetapi bodoh. Namun ianya tidak pernah melemahkan sedikit pun semangat saya untuk terus berjuang dan bekerja untuk parti dan juga pergerakan pemuda. Agar parti keramat PBS akan terus relevan di mata anak muda di luar sana.
“Semoga semangat ini juga akan terus semarak bersama perwakilan-perwakilan pemuda diseluruh negeri Sabah bagi mengangkat martabat parti,” tegasnya.
Terdahulu, Christoper berkata, Pemuda PBS di peringkat pusat juga telah mencadangkan kepada kepimpinan untuk menubuhkan Koperasi Pemuda PBS.
“Pemuda masa kini dituntut agar peka terhadap perkembangan politik masa kini, selain harus bijaksana untuk berusaha meningkatan ekonomi,” tambahnya.































