Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Video yang tular sejak beberapa hari ini mengenai kejadian ikan yang mati terapung hanyut di perairan yang tidak dikenal pasti yang dikaitkan dengan pelepasan sisa toksik di Fukushima, Japan, bukan berlaku di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Kementerian melalui siasatan Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan isu kejadian kematian ikan ini tidak berlaku di Sabah dan ianya disahkan berlaku beberapa minggu lepas di Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu, ikan-ikan yang dipelihara dalam sangkar.
Penyebab kematian di fahamkan oleh kejadiaan algae blooming dan tidak ada kaitan dengan pelepasan sisa toksik, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kementerian ingin menasihatkan agar pihak awam tidak bimbang tentang situasi ikan yang mungkin tercemar akibat racun toksik kerana, Jabatan Perikanan Sabah dan beberapa agensi serta pihak institusi sedang memantau rapi situasi dan telah mengambil langkah berjaga-jaga.
“Pihak Kementerian memohon orang ramai khususnya para nelayan agar dapat melaporkan segera jika melihat kejadian kematian ikan dengan jumlah yang banyak secara tiba-tiba di mana-mana perairan di Sabah,” katanya.





























