Persembahan sang juara daripada SMK Rancha-Rancha
LABUAN: Golongan belia boleh menjadi barisan hadapan dalam menyebarluaskan semangat patriotisma dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad golongan belia boleh menanam semangat patriotisma dan kemerdekaan kepada individu di persekitaran mereka terlebih dahulu.
“Anda boleh bermula dengan menanam semangat kemerdekaan kepada ibu bapa dan ahli keluarga di rumah, seterusnya kepada rakan sebaya dan individu yang berada di persekitaran anda.
“Jagalah pertuturan dan perhubungan dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum serta agama, hormatilah guru-guru anda dan jagalah akhlak walau di mana anda berada. Percayalah anda akan menjadi generasi merdeka yang berkualiti, berintegriti dan berdaya saing,”katanya semasa merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Labuan 2023, di sini pagi tadi.
Jelasnya lagi, Pertandingan Sketsa Rukun Negara amat relevan untuk disertai oleh para pelajar sekolah.
“ Ini kerana ia mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan belia tentang sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berpelembagaan, memantapkan semangat patriotik, jati diri dan kesepaduan nasional untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
“Prinsip dalam Rukun Negara jelas kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kestabilan Malaysia, bertujuan menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat, nilai keagamaan, kesetiaan kepada Raja dan negara, kepatuhan kepada Perlembagaan dan undang-undang serta masyarakat yang sopan dan bertatasusila,”jelasnya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan, Sawal Saleh
Pertandingan itu disertai lima buah sekolah Menengah dan dijuarai oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha – Rancha diikuti SMK Labuan di tempat kedua dan SMK Lajau di tempat ketiga.





























