Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Jumlah Perdagangan Sabah 2022 yang melepasi angka RM100 billion merupakan bukti kecemerlangan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Pengerusi Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr. Yusof Yacob.
Kejayaan tersebut juga secara tidak langsung menepis dakwaan dan tohmahan pihak pembangkang yang mendakwa ekonomi negeri Sabah lemah di bawah pimpinan Kerajaan GRS, tambahnya.
Pada 31 Julai 2023 lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan Jumlah Perdagangan Sabah merekodkan pertumbuhan tertinggi 35.4 peratus pada tahun 2022, melepasi RM100 billion.
Jumlah perdagangan Negeri Sabah pada tahun 2022 berjumlah RM118.1 billion, berbanding tahun sebelumnya RM87.2 billion.

Dr. Yusof Yacob
“Pengumuman ini disambut baik oleh pelbagai lapisan rakyat di Sabah. Ini adalah manifestasi jelas dari kerja keras Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Negeri Sabah pada September 2020.
“Sejak mengambil alih Kerajaan Negeri di kala dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, Kerajaan Negeri Sabah telah mengambil pelbagai inisiatif dan bekerja keras untuk memulihkan kembali ekonomi dan ini dapat dibuktikan dengan pengumuman Ketua Perangkawan Malaysia tersebut baru-baru ini,” katanya yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad dalam satu kenyataan hari ini.
Selaku Pengerusi Qhazanah Sabah, yang merupakan badan pelaburan strategik milik Kerajaan Negeri Sabah, Dr. Yusof berkata, beliau bersama rakan-rakan pimpinan yang telah diberi amanah akan bekerja keras ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah akan terus kukuh dan mampan demi kemakmuran Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Laporan Ketua Perangkawan Malaysia ini secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada para pelabur untuk datang dan membawa lebih banyak pelaburan di Sabah.
“Selain itu, ia juga secara tidak langsung menepis dakwaan dan tohmahan dari pihak pembangkang yang mendakwa Ekonomi Negeri Sabah lemah di bawah pimpinan Kerajaan GRS,” kata Dr. Yusof yang juga ADUN Sindumin.





























