KOTA KINABALU: Lebih ramai wanita perlu diberi peluang memegang jawatan kepimpinan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain memperkukuh kerjasama dan usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
Ketua Wanita GRS Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata kerjasama erat antara kepimpinan wanita penting bagi memastikan gerak kerja gabungan itu lebih tersusun dan dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Usaha mendekati akar umbi perlu diteruskan supaya suara, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat. Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Azizah berkata penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan turut membawa pelbagai pandangan dan pengalaman dalam proses membuat keputusan.
“Peranan wanita perlu diperkukuh di semua peringkat bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya.
Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Datuk Redonah Bahanda; Penolong Setiausaha Wanita Gagasan Rakyat Fahzean Mohiddin; Bendahari Wanita Gagasan Rakyat Salmi Sarinoh; Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Senator Datuk Anna Bell Perian; Timbalan Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Julia Ahmad Bahrom; Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait; dan Ketua Penerangan Wanita GRS Datin Atin Belinda.
































