Mandela yang mewakili Ketua Menteri melihat pameran pada sidang kemuncak berkenaan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan perancangan bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM100 bilion menjelang 2030 di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita sudah mengenal pasti industri yang ingin dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik masuk serta infrastruktur yang diperlukan untuk menyokongnya. Keutamaan sekarang ialah memastikan semua perancangan ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik merupakan antara keperluan paling penting bagi pembangunan industri di Sabah.
“Apabila pelabur mempertimbangkan untuk membuka kilang atau operasi berskala besar lain di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, kosnya serta bila bekalan itu tersedia.
“Ini soalan praktikal yang memerlukan jawapan jelas. Pelabur tidak boleh mengendalikan kilang mereka berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa depan. Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) (PACE) bersama EDGE Summit di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, meskipun negeri ini membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Kita perlu mengimbangi peningkatan keperluan tenaga Sabah dengan kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar. Terdapat keputusan sukar yang perlu dibuat, tetapi kita mesti membuatnya dengan teliti jika Sabah mahu kekal berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri mencatat kemajuan memberangsangkan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga.
“Melalui Perjanjian Kerjasama Komersial yang ditandatangani bersama PETRONAS pada Disember 2021, negeri ini memperoleh peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gasnya.
“Baru-baru ini, Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September mengunjurkan bekalan gas Sabah boleh meningkat daripada kira-kira 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta menjelang 2030.
“Pembangunan sumber gas yang dirancang di Pantai Timur Sabah turut menawarkan peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di kawasan itu.
“Perkembangan ini memberangsangkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan manfaat yang dijangka dapat direalisasikan,” katanya.
Hajiji turut memuji prestasi kewangan SEC serta usahanya mengembangkan perniagaan ke bidang baharu di bawah Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).
Sejak ditubuhkan pada 1981, SEC berkembang menjadi antara syarikat tenaga terpenting di Sabah, dengan peranan lebih besar dalam pembekalan, pengangkutan dan pengedaran gas, katanya.
Beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan agensi lain mencontohi usaha SEC dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Setiap agensi negeri dan GLC mempunyai peranan penting, tetapi meskipun setiap organisasi menunjukkan prestasi baik secara individu, itu tidak semestinya bermakna kita melaksanakan tugas dengan baik secara kolektif.
“Penyelarasan yang baik antara mereka amat penting, khususnya apabila tanggungjawab masing-masing saling berkaitan dalam menyokong pelaburan utama,” katanya.
Beliau berkata Sabah tidak mampu membiarkan agensi kerajaan bekerja secara berasingan kerana keadaan itu hanya akan menyebabkan pelabur terpaksa menunggu, manakala peluang pelaburan beralih ke tempat lain.
“Kita tidak mampu membiarkan perkara itu berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain. Oleh itu, saya berharap agensi negeri dan GLC terus memperkukuh kerjasama, berkongsi maklumat serta menyelesaikan masalah bersama-sama, dan bukannya membiarkan sempadan organisasi melambatkan urusan.
“Mengenai sidang kemuncak ini, saya berharap perkongsian idea di sini dapat membawa kepada penambahbaikan praktikal, perkongsian baharu dan kaedah kerja bersama yang lebih baik,” katanya.
































