Masiung (kanan) bersama Hadzlan (kiri) melayani penduduk di majlis tersebut.
TONGOD: Pemimpin masyarakat termasuk pengamal adat, pemaju masyarakat dan pemaju mukim perlu memperkukuh pengetahuan bagi menangkis fitnah serta berita palsu yang dilemparkan terhadap kerajaan.
ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah berkata pemimpin akar umbi juga perlu bersedia dengan maklumat tepat bagi memberi penjelasan kepada penduduk berhubung spekulasi negatif yang dimainkan pihak tertentu.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin di peringkat daerah yang cuba memainkan isu kritikal untuk menjatuhkan kerajaan,” tegasnya ketika merasmikan Majlis Amanat ADUN Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, di sini, semalam.
Masiung berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua-ketua kampung perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan sahih dan menghadiri setiap kursus sebelum menyampaikan maklumat kepada penduduk.
Menurutnya, pihak yang disifatkannya sebagai ekstremis politik, khususnya penyokong pembangkang, sering menggunakan media sosial untuk menyuarakan dendam politik terhadap kerajaan.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, pemimpin di peringkat daerah yang dilantik atau dipilih perlu peka terhadap program pembangunan kerajaan.
Katanya, setiap projek pembangunan luar bandar tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan perancangan rapi terlebih dahulu.
Beliau turut menegaskan pemimpin akar umbi perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan khusus bagi memberi penjelasan mengenai isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang dibangkitkan pihak pembangkang.
Pegawai Daerah Tongod Hadzlan Jablee, dan Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Tokyo Hasim Omar, antara yang hadir pada majlis berkenaan, yang turut disertai kira-kira 250 pegawai dan enam kakitangan kerajaan.
































