KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited menyalurkan baki RM900 juta Pemberian Khas kepada Kerajaan Negeri Sabah tahun ini selepas Perintah Pemberian Khas baharu berkuat kuasa.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan Kementerian Kewangan (MOF) kepada soalan lisan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut MOF, sebanyak RM600 juta daripada Pemberian Khas telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 12 Jun 2026, manakala baki RM900 juta akan dibayar selepas proses berkaitan Perintah Pemberian Khas baharu diselesaikan.
Jawapan itu turut menyatakan bahawa jumlah hasil yang dikutip di Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2024 dianggarkan sekitar RM10 bilion setahun, merangkumi bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus serta hasil cukai langsung dan tidak langsung yang lain.
“Pemberian Khas interim kepada Sabah juga meningkat secara berperingkat, daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pada 2025. Bagi 2026, jumlah itu ditetapkan sebanyak RM1.5 bilion, seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada 30 Mei lalu.
“Bagi membolehkan baki RM900 juta disalurkan, beberapa proses dan prosedur antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah perlu diselesaikan, termasuk penggubalan dan pewartaan draf Perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Perintah baharu itu akan menggantikan Perintah Pemberian Khas bagi Sabah 2025, iaitu P.U.(A) 271/2025,” jelas MOF lagi.
Kementerian itu juga menyatakan komitmen untuk menyelesaikan proses berkenaan bagi memastikan baki pemberian khas itu dapat disalurkan kepada Sabah dalam tahun ini.
Dalam pada itu, rundingan mengenai amaun Pemberian Khas akan diteruskan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun Madius mempersoalkan jawapan berkenaan tidak memperincikan kaedah pengiraan hasil bersih Kerajaan Persekutuan daripada Sabah, termasuk formula pengiraan serta garis masa khusus bagi pelaksanaan hak pemberian khas sebanyak 40 peratus seperti yang dibangkitkan dalam soalan.
“Persoalan mengenai mekanisme pengiraan dan jadual pelaksanaan hak berkenaan kekal penting bagi memastikan kedudukan kewangan Sabah serta hak negeri itu di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat ditangani dengan jelas dan telus,” ujar Madius lagi.
Teedahulu dalam soalannya Madius meminta MOF menyatakan berapakah hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi 2022-2025, jumlah Pemberian Khas dibayar, kaedah pengiraan, serta langkah dan garis masa melaksanakan hak 40 peratus Sabah di bawah Perlembagaan.































