Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Sebanyak RM950.78 juta pembiayaan disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperluas akses kepada pembiayaan serta menyokong pertumbuhan dan daya saing perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik pendekatan KUSKOP menerusi inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) yang menekankan pembangunan usahawan secara menyeluruh dan bukan sekadar menyediakan pembiayaan.
“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi, peningkatan produktiviti, prosedur permohonan yang lebih mudah serta akses kepada pasaran yang lebih luas.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan dan syarikat tempatan di Sabah terus maju, menjadi lebih digital, produktif dan inovatif, selain memperluas capaian pasaran mereka di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 peringkat Sabah di Lintasan Deasoka di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.

Ewon mewakili Ketua Menteri menyempurnakan pelancaran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 peringkat Sabah.
Hajiji berkata usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan penciptaan nilai dalam ekonomi negeri.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menghargai komitmen KUSKOP melaksanakan reformasi birokrasi, mempermudah prosedur dan memendekkan tempoh pemprosesan permohonan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan.
“Pendekatan seperti inilah yang kita mahu terus diperkukuh, supaya usahawan dapat meluangkan lebih banyak masa membangunkan perniagaan dan mencari pelanggan, bukannya berurusan dengan prosedur yang boleh dipermudah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri bersedia meneruskan kerjasama dengan KUSKOP dan agensinya bagi memastikan program Kerajaan Persekutuan selaras dengan keperluan ekosistem perniagaan di Sabah.
Hajiji turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan penekanan khusus kepada pembangunan PMKS, terutama menerusi penambahbaikan akses kepada pembiayaan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan usahawan tempatan sepanjang tahun ini, termasuk menerusi Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan keupayaan, produktiviti dan daya saing perusahaan tempatan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang mewujudkan lebih banyak peluang untuk produk tempatan menembusi pasaran baharu, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, pelancongan, kraf tangan serta produk berasaskan sumber tempatan.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri memperkukuh pembangunan keusahawanan berasaskan inovasi dan teknologi, selain memperkasa produk luar bandar serta melaksanakan program pembangunan kemahiran.
“Inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya golongan belia dan masyarakat luar bandar, untuk meningkatkan kemahiran, menambah nilai produk serta meneroka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh bagi membolehkan lebih ramai usahawan Sabah mengekalkan kelangsungan perniagaan, mengembangkan operasi dan muncul sebagai peneraju perniagaan tempatan.
Hajiji turut menggesa usahawan Sabah merebut peluang menerusi Karnival HPM, termasuk khidmat rundingan pembiayaan, latihan digital dan sesi pemadanan perniagaan yang ditawarkan oleh agensi KUSKOP serta rakan strategik negeri.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pasaran sedia ada. Tingkatkan pembungkusan produk, penjenamaan dan konsistensi untuk menjadi lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau yakin kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, institusi kewangan, sektor swasta dan komuniti perniagaan mampu mewujudkan ekosistem yang membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran global.
































