Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Sabah mencatat pelaburan pembuatan berjumlah RM7.6 bilion tahun lalu, mencerminkan momentum perindustrian yang kukuh dan keyakinan pelabur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, usahawan Sabah turut meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa apabila 124 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa dalam tempoh sama, sekali gus menjana potensi jualan berjumlah RM95.9 juta.
“Kita mahu lebih banyak perniagaan tempatan membina keupayaan masing-masing, menerima pakai teknologi dan inovasi serta bersaing di pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi, pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Beliau berkata demikian pada majlis FSI Nite anjuran Persekutuan Industri Sabah (FSI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.

Ewon yang mewakili Ketua Menteri (tengah) memotong kek ulang tahun bersama ahli jawatankuasa FSI dan tetamu jemputan.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tidak mampu membangunkan ekonomi Sabah secara bersendirian, begitu juga industri tidak dapat berkembang secara terasing.
“Kerjasama erat amat penting. Saya berharap FSI akan terus menjadi suara bersatu bagi sektor industri Sabah dan penghubung berkesan antara kerajaan dengan sektor swasta.
“Kejayaan berterusannya juga bergantung kepada penyertaan aktif, idea dan komitmen semua ahlinya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap dapat terus bekerjasama dengan FSI dan komuniti perniagaan yang lebih luas ke arah mewujudkan Sabah yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan makmur.
Hajiji berkata, FSI turut memainkan peranan penting dalam membantu pengilang dan pemain industri menyesuaikan diri dengan kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan.
“Selama lebih empat dekad, FSI menyatukan pengilang dan pemain industri, mewakili kepentingan mereka serta menyediakan hubungan penting antara kerajaan dengan sektor swasta.
“Sabah International Expo (SIE) membuktikan hasil yang mampu dicapai melalui kerjasama ini.
“Susulan kejayaan penganjuran SIE 2026 pada September lalu, saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur FSI dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (MICCI), dengan sokongan kerajaan negeri, kerana menghubungkan perniagaan Sabah dengan pelabur, delegasi perdagangan dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada FSI sempena ulang tahun ke-43 penubuhannya dan berharap persekutuan itu akan terus memperkukuh sektor industri Sabah, mewujudkan peluang kepada ahlinya serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri.


































