Julita menyampaikan cenderamata kepada Dr. Joachim sambil diperhatikan oleh Dr. Maximus dan Dr. Christoper.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menerima kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi pindaan Perlembagaan parti, sekali gus membuka ruang kepada inisiatif baharu untuk memperkukuh organisasi parti serta membangunkan barisan kepimpinan generasi akan datang.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, antara peruntukan baharu tersebut membolehkan semua bahagian PBS menubuhkan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB), sebagai platform tersusun bagi golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, penubuhan GBB tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penambahan struktur organisasi parti, sebaliknya merupakan satu pelaburan untuk masa depan PBS.
“Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi.
“Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, hari ini.
Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih oleh para perwakilan pada persidangan tersebut.
Katanya, inisiatif itu amat bertepatan ketika PBS memasuki fasa pembaharuan kepimpinan, dengan penekanan yang lebih besar terhadap usaha menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk membangunkan keupayaan dan seterusnya memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.
“Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut.
“Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa yang sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya.
Julita berkata, pindaan Perlembagaan tersebut mencerminkan usaha berterusan PBS untuk memperkukuh organisasi parti di samping menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik dan sosial semasa.
Beliau menambah, platform GBB yang baharu itu akan membolehkan PBS mendekati golongan muda secara lebih tersusun serta menggalakkan penglibatan mereka dalam politik melalui aktiviti yang membina dan bermakna.
Turut hadir Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Pengasas, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan-Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Seri Jahid Jahim; Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai; dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Christopher Mandut.
































