Masiung Banah
TONGOD: ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah meminta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) segera memasang sistem amaran awal gempa bumi di kawasan berisiko di Kuamut susulan gempa lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter yang berlaku pada jam 5.32 pagi tadi.
Menurutnya, walaupun gempa berkenaan tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk, pemasangan sensor seismik automatik di kawasan berisiko di daerah Tongod perlu disegerakan kerana dikhuatiri berlaku gempa susulan yang lebih dasyat.
“Biasanya kejadian gempa akan berulang dan MetMalaysia harus mengambil tanggungjawab segera memasang sensor pengesan awal gempa bumi di Kuamut sebelum bencana itu berulang dengan risiko yang besar,” kata Masiung.
Beliau berkata, MetMalaysia wajar memasang pengesan awal gempa di daerah itu kerana Kuamut pernah digegarkan gempa bermagnitud 3.6 pada skala Richter pada kedalaman 280 kilometer pada 17 Julai tahun ini.
Masiung berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee mengenal pasti kawasan yang terkesan, termasuk kemungkinan berlaku keretakan pada infrastruktur awam.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada laporan penuh diterima daripada Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya dan Polis.
Menurut MetMalaysia, gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuamut, Kinabatangan, pada jam 5.32 pagi tadi.
Pusat gempa dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur.
Gempa itu berlaku pada kedalaman 118 kilometer, kira-kira 34 kilometer barat daya Tongod dan 280 kilometer barat laut Tarakan, Indonesia.
































