KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur kekal sebagai salah satu keutamaan utama Kerajaan Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Infrastruktur yang berkualiti bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada rakyat. Lebih daripada itu, ia membuka peluang ekonomi, memperkukuh hubungan antara kawasan bandar dengan luar bandar, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan pelaburan yang mampan,” katanya ketika merasmikan edisi sulung BEST Conference 2026 di sini hari ini.
Bagaimanapun, Dr. Joachim mengakui bahawa usaha membangunkan Sabah berdepan cabaran besar.
“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah keluasan negeri Sabah, taburan penduduk yang berselerak dan tidak tertumpu di beberapa kawasan sahaja, selain keadaan muka bumi yang berbukit-bukau, berpaya serta terdedah kepada risiko gempa bumi.
“Faktor-faktor ini menjadikan pelaksanaan projek infrastruktur lebih kompleks dan memerlukan kos yang tinggi,” ujarnya.
Walaupun begitu, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited menyediakan prasarana terbaik mengikut kemampuan dan sumber sedia ada.
“Setiap pembangunan perlu dirancang dengan teliti, dilaksanakan mengikut standard yang tinggi dan diurus dengan penuh integriti supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi hari ini serta generasi akan datang,” tegasnya.
Dalam era perubahan teknologi yang pantas, Dr. Joachim menekankan bahawa standard dan teknologi perlu bergerak seiring.
“Standard dan teknologi perlu bergerak seiring. Standard memastikan kualiti. Teknologi meningkatkan kecekapan. Apabila kedua-duanya digabungkan, kita akan mampu menghasilkan pembangunan yang lebih berkualiti, lebih selamat dan lebih mampan,” katanya.
Beliau memuji tema persidangan tahun ini, “Strengthening Standards and Empowering Infrastructure Technology”, yang dianggap amat bertepatan dengan keperluan industri semasa.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa pembangunan negeri bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Pembangunan negeri bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama semua pihak. Kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi, badan profesional dan masyarakat.
“Apabila semua pihak berkongsi matlamat yang sama, kita mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih baik dan mempercepatkan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan usaha membangunkan modal insan dan berharap lebih ramai profesional muda memanfaatkan platform seperti BEST.
“Kita boleh menyediakan peruntukan. Kita boleh membina infrastruktur. Kita boleh memperkenalkan teknologi. Namun kejayaan sebenar tetap bergantung kepada modal insan,” ujar Dr. Joachim.
“Saya berharap lebih ramai jurutera, arkitek, juruukur, pegawai teknikal, kontraktor dan golongan profesional muda memanfaatkan platform seperti BEST untuk meningkatkan pengetahuan serta membina jaringan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada pembangunan negeri.”
Dr. Joachim menyifatkan langkah pertama penganjuran BEST Conference 2026 sebagai satu permulaan yang berani.
“Saya percaya bahawa setiap persidangan yang besar bermula dengan satu langkah yang berani. Hari ini kita menyaksikan langkah pertama tersebut.
“Justeru, saya berharap langkah ini akan terus berkembang menjadi satu legasi yang mampu memperkukuh budaya kecemerlangan, meningkatkan standard industri serta melahirkan lebih ramai profesional yang akan memacu pembangunan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Penyelaras Sabah Maju Jaya, Datuk Haji Datu Rosmadi Datu Sulai; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Baharuhom K.K. Sogon; serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.






























