Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kini memasuki fasa baharu menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, dengan perkembangan positif dalam pembangunan infrastruktur, peningkatan hasil negeri dan usaha memperkukuh hak ekonomi Sabah.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, perkembangan itu menunjukkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Perpaduan sedang mengorak langkah membina masa depan Sabah, sekali gus menepis dakwaan pembangkang Warisan yang terus melabel kerajaan negeri sebagai ‘kerajaan gagal’.
“Kita kini telah masuk ke Suku Ketiga 2026, namun saya berasa amat hairan melihat gelagat dan cara berpolitik pembangkang Warisan yang semakin ketandusan modal idea,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, bukti paling konkrit ialah perkembangan fizikal Lebuhraya Pan Borneo Sabah (Fasa 1A), yang kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan selepas projek berkenaan sebelum ini berdepan kelewatan.
“Melalui ketegasan Hajiji Versi Baharu, projek yang dahulunya lembap kini dipacu rapi dengan komitmen menyaksikan sembilan pakej kerja utama, termasuk WP3, WP4, WP10 dan WP29, dijadualkan siap sepenuhnya dan memperoleh Perakuan Siap Sebahagian (CPC) tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan rasmi laluan empat lorong antara Bongawan Flyover dan Benoni Flyover pada Jun lalu, selain sasaran pembukaan jajaran Putatan Flyover hingga Sepanggar Interchange menjelang Oktober 2026, menjadi bukti kerajaan sedang memperkukuh jaringan perhubungan rakyat.
Aksyah turut menyorot peningkatan hasil negeri yang kini berada pada paras RM7 bilion secara konsisten, dengan kerajaan menyasarkan kutipan RM8 bilion, yang menurutnya memperlihatkan pengukuhan kedudukan fiskal Sabah.
“Keupayaan ini membolehkan Belanjawan Sabah 2026 yang mencecah RM12.02 bilion dilaksanakan, iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah untuk membiayai 1,173 projek pembangunan inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, agenda ‘Sabah First’ yang diangkat GRS sebagai teras pentadbiran membuktikan bahawa hak, khazanah dan hala tuju negeri perlu diputuskan berasaskan kepentingan Sabah, manakala pendekatan politik pragmatik pula penting bagi memastikan kestabilan kerajaan.
“Walaupun meletakkan wadah tempatan sebagai paksi kuasa, landasan politik Hajiji amat pragmatik dan matang. Beliau menyedari kemakmuran Sabah tidak akan lahir daripada permusuhan politik yang ekstrem,” katanya.
Aksyah berkata, usaha menuntut hak ekonomi Sabah turut memperlihatkan ketegasan kepimpinan Hajiji, khususnya menerusi diplomasi dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Antara perkembangan yang diketengahkan ialah peningkatan pembayaran interim khas Persekutuan daripada RM26 juta kepada RM1.5 bilion, penamatan kontrak konsesi air lama serta penguasaan 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu milik Sabah.
“Setakat Suku Ketiga 2026, perkembangan positif Sabah yang dicapai oleh dasar serta pelaksanaan tersusun di bawah kepimpinan Hajiji dan panglima-panglimanya adalah suatu yang amat kontradik dengan naratif pembangkang,” katanya.
Aksyah berkata, rakyat Sabah tidak seharusnya terus terpengaruh dengan retorik politik, sebaliknya menilai kepimpinan berdasarkan rekod dan hasil pembangunan yang dapat dilihat serta dirasai.
“Saya yakin, setiap batu asas yang telah ditinggalkan oleh Hajiji menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa ini adalah Hajiji Versi Baharu,” katanya.
































