Dzulkefly ketika ditemui media.
TUARAN: Keadaan jerebu di Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan mencatatkan penurunan.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat 8 pagi hari ini, bacaan IPU di Tawau turun kepada 92 berbanding 153 semalam, Sandakan kepada 78 berbanding 152 dan Kota Kinabalu kepada 128 berbanding 151.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan yang mencatatkan peningkatan iaitu Kimanis daripada 126 kepada 151, Keningau daripada 84 kepada 88 dan Politeknik Kota Kinabalu daripada 152 kepada 155.
“Secara keseluruhannya, kita melihat trend yang menurun, namun orang ramai masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
“Manakala kes penyakit berkaitan jerebu seperti konjunktivitis, jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma turut menunjukkan penurunan.
“Penyakit konjunktivitis turun kepada 87.5 peratus iaitu daripada 8 kes kepada 1 kes, manakala URTI daripada 128 kes kepada 91 kes itu turun 28.9 peratus.
“Selain itu, Asma turun 26.9 peratus iaitu daripada 26 kes kepada 19 kes.
“Tiada kematian akibat komplikasi berkaitan jerebu dilaporkan setakat ini,” katanya kepada media selepas majlis Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, golongan rentan khususnya kanak-kanak dan warga emas perlu diberi perhatian dengan mengelakkan mereka daripada terdedah kepada jerebu.
“Kita jangan ambil mudah, terutamanya kumpulan rentan, anak-anak dan orang tua. Kita perlu pastikan mereka tidak terdedah kepada jerebu, terutama mereka yang mempunyai masalah asma dan jangkitan saluran pernafasan.
“Jika perlu, pakai pelitup muka dan elakkan berada di tempat yang terdedah,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan tidak mahu menimbulkan kebimbangan berlebihan dalam kalangan masyarakat, namun pada masa sama tidak mahu orang ramai memandang ringan keadaan jerebu.
“Di Sarawak, khususnya di Serian, keadaan sudah diisytiharkan darurat apabila bacaan IPU melebihi 500 dan di Sabah pula, Alhamdulillah, bacaan masih berada di bawah 200.
“Bacaan IPU melebihi 200 merupakan paras berbahaya maka apabila bacaan berada pada paras 100 dan ke atas, kita perlu terus berjaga-jaga serta mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan,” katanya.
Beliau berharap keadaan jerebu di Sabah akan terus bertambah baik dan bacaan IPU terus menurun walaupun terdapat beberapa kawasan yang mencatatkan peningkatan.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag serta Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majunki.
































