Hajiji berbincang dengan Dobrowolski.
KOTA KINABALU: Kerjasama antara University College Sabah Foundation (UCSF) milik Yayasan Sabah dan sebuah universiti di Poland sedang dalam perancangan.
Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Dariusz Dobrowolski berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memformalkan kerjasama itu kini sedang dalam proses penyediaan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini bagi membincangkan potensi kerjasama ekonomi dua hala.
Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah bidang kerjasama berpotensi dalam tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.
Ini merupakan kunjungan kelima Dobrowolski ke Kota Kinabalu, manakala kunjungan terbaharunya adalah pada April tahun ini ketika beliau melawat kampus UCSF.




























