Hajiji (dua dari kiri) diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan jambatan sepanjang 682 meter itu ketika lawatan tapak hari ini.
TUARAN: Pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Serusup-Pinturu sepanjang 20.8 kilometer (WP09) berjalan lancar, dengan jambatan sepanjang 682 meter merentasi Sungai Sulaman dijangka siap pada Disember tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor diberi taklimat mengenai kemajuan projek itu oleh Wakil Pegawai Penyelia (Superintending Officer Representative – SOR), Theodora Thomas George, ketika melakukan lawatan tapak hari ini.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman meluangkan masa meninjau kemajuan projek bernilai RM465 juta itu yang dijangka siap pada Julai 2028.
Turut hadir ialah ADUN Dilantik, Datuk Kassim Razali, Pegawai Daerah, Ibrahim Terki dan kontraktor projek, Joseph Yu Sin Kong.


























