Jamawi (lima dari kanan) bergambar bersama dengan semua wakil yang hadir dalam majlis itu.
TENOM: Pembangunan ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap perlu diperkasa dengan memperkukuhkan sektor pertanian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada masyarakat setempat, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, Melalap mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor pertanian termasuk ternakan, perikanan, kopi, avokado dan tanaman bernilai tinggi yang boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan baharu penduduk.
“Kalau kita mahu ekonomi kawasan ini berkembang, kita perlu cari peluang yang ada. Kita mahu kawasan Melalap bukan sahaja berkembang dari segi pertanian, tetapi juga menjadi kawasan pelancongan.
“Apabila ramai orang datang ke Tenom, ekonomi kita akan naik dan masyarakat juga mempunyai peluang untuk berniaga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Pusat Khidmat ADUN N.42 Melalap di Hotel Perkasa Tenom, di sini kelmarin.
Hadir sama ialah Ketua Daerah OKK Tusip Tulas bersama lebih 100 wakil setiap kampung dalam Pusat Khidmat ADUN N.42 Melalap.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, Kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan rantaian nilai hasil pertanian supaya petani bukan sahaja menghasilkan produk, tetapi mempunyai kemudahan untuk mengumpul, memproses dan memasarkan hasil mereka.
Katanya, pusat pengumpulan hasil pertanian di Jalan RTM kini hampir 95 peratus siap dan akan digunakan untuk mengumpulkan hasil sayur-sayuran serta produk pertanian daripada kampung sekitar.
“Selepas siap dan diserahkan, saya mahu semua hasil pertanian dikumpulkan di sana. Kita akan bincang dengan pihak berkaitan supaya hasil daripada kampung boleh dihantar ke pusat pengumpulan itu.
“Kita mahu membantu menetapkan harga supaya petani mendapat pulangan yang lebih baik,” katanya.
Dalam sektor kopi, Jamawi berkata, Melalap dan Tenom mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran tempatan memandangkan hanya kira-kira 20 peratus bekalan kopi berada dalam negeri manakala sebahagian besar masih diimport dari Indonesia.
Beliau berkata, Kerajaan telah meluluskan peruntukan pusat pengeringan kopi berjumlah RM600,000 bagi membantu meningkatkan industri berkenaan.
“Kenapa kita masih import kopi sedangkan kita mempunyai kawasan yang sesuai untuk menanam kopi? Kita mahu petani meningkatkan pengeluaran dan memastikan hasil dapat diproses serta dipasarkan dengan lebih baik,” katanya.
Jamawi berkata, usaha turut dilakukan untuk mengembangkan tanaman kopi di beberapa kampung, termasuk memastikan hasil yang dikutip daripada penduduk dapat dikumpulkan dan diproses secara lebih sistematik.
Selain kopi, katanya, tanaman avokado juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai tanaman bernilai tinggi.
“Harga ladang avocado QAV 1 ialah RM12 sekilogram manakala harga avokado varieti kampung ialah RM 4 sekilogram. Varieti yang baik boleh diexport dan dijual di pasaraya,”kata Jamawi.
Beliau berkata, Kerajaan turut menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi membina pusat memproses avokado di Kampung Bunut.
“Manakala varieti avokado kampung kita proses di pusat memproses berkenaan”, katanya.
Bagi sektor ternakan pula, Jamawi berkata, bantuan termasuk kira-kira 25 ekor lembu telah disalurkan kepada penduduk di Kg Lagud bagi membantu mengembangkan kegiatan penternakan di kawasan berkenaan.
Katanya, bantuan dalam sektor perikanan turut diberikan, termasuk lapan bot lengkap dengan peralatan kepada masyarakat bagi membantu meningkatkan kegiatan ekonomi berasaskan perikanan.
“Bantuan ini bukan sekadar untuk memberi barang, tetapi kita mahu masyarakat menggunakan peluang yang ada untuk menjana pendapatan dan mengembangkan ekonomi keluarga,” katanya.
Jamawi berkata, pembangunan sektor pertanian juga perlu digabungkan dengan sektor pelancongan bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih kukuh di Melalap.
Katanya, beliau telah mengarahkan supaya potensi pelancongan di Tenom dikenal pasti dan dipromosikan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata, beberapa program yang dijadualkan pada September dan Oktober turut diharap dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Jamawi berkata, pembangunan ekonomi Melalap tidak boleh bergantung kepada jawatan politik semata-mata, sebaliknya masyarakat perlu diberi peluang membina sumber pendapatan melalui kegiatan ekonomi yang mampan.
“Kita jangan fikir tentang jawatan sahaja. Yang penting ialah bagaimana kita membantu rakyat dan membangunkan ekonomi kawasan.
“Kalau ekonomi naik, masyarakat juga akan mendapat manfaat dan mempunyai lebih banyak peluang untuk berniaga,” katanya.
Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Tenom dan selepas itu menyertai perlawanan persahabatan bola sepak yang diadakan di Kompleks Sukan Tenom.


































