Hajiji mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun (Dr.) Musa Haji Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M kategori lelaki kepada Datuk Alidin @ Ahmad Din OKK Othman pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
KOTA KINABALU: Kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur melalui pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu disertai pembangunan insan yang memiliki ilmu, integriti, akhlak dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan masyarakat dan meletakkan prinsip keadilan sebagai asas kehidupan bersama.
Katanya, konsep rahmatan lil ‘alamin yang dibawa Rasulullah SAW mengandungi pengertian yang amat luas, termasuk kasih sayang, keadilan, kebijaksanaan, toleransi, amanah dan penghormatan terhadap martabat manusia.
“Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak pada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun (Dr.) Musa Haji Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M kategori wanita kepada Datuk Hajah Patimah Ramuji pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
Hajiji berkata, dalam konteks Sabah, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat memberikan manfaat seluas-luasnya kepada rakyat dan bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan masyarakat di bandar mahupun luar bandar.
“Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW seperti amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan perlu terus menjadi inspirasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.
“Bagi penjawat awam, amanah hendaklah diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti. Bagi pemimpin, amanah bermaksud meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, manakala bagi masyarakat pula, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah yang mempunyai masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara kepelbagaian sebagai satu kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri.
“Saya menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negeri Sabah. Janganlah perbezaan pandangan, fahaman mahupun latar belakang menyebabkan hubungan sesama kita menjadi renggang.
“Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan titik persamaan, membudayakan dialog yang matang serta menyelesaikan perbezaan dengan penuh hikmah,” katanya.
Beliau berkata, keamanan dan kestabilan merupakan prasyarat kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, segala agenda pembangunan yang dirancang akan menjadi lebih sukar untuk direalisasikan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan peranan generasi muda tidak boleh dipinggirkan dalam menentukan masa depan negeri, khususnya ketika mereka berdepan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, ledakan maklumat serta perubahan sosial yang berlaku begitu pantas.
Katanya, golongan muda perlu dilengkapkan bukan sahaja dengan pendidikan dan kemahiran, tetapi juga kekuatan jati diri serta akhlak, selain memanfaatkan media sosial dan teknologi digital untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran, meningkatkan produktiviti serta menyebarkan perkara yang membawa manfaat.
“Kita perlu menghindari budaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, fitnah, penghinaan serta kandungan yang boleh merosakkan akhlak dan hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Hajiji berkata, akhlak Rasulullah SAW dalam menjaga tutur kata, menghormati manusia dan menyampaikan kebenaran dengan penuh hikmah sewajarnya menjadi pedoman dalam berinteraksi, termasuk dalam dunia digital.
“Kita mahu melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, tetapi dalam masa yang sama tetap teguh jati dirinya, tinggi akhlaknya dan mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya.
Sempena sambutan itu, beliau menyeru umat Islam di Sabah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menterjemahkannya dalam bentuk amalan, termasuk menyuburkan kasih sayang dalam keluarga, melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, membantu mereka yang berada dalam kesusahan serta memelihara hubungan sesama manusia.
Hajiji berkata, jika nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah SAW diterapkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat serta pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan, Sabah mampu dibina sebagai negeri yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT.


































