Masidi (tujuh dari kanan) bersama Johnny (enam dari kiri) dan rombongan BDC dalam kunjungan tersebut.
KOTA KINABALU: Borneo Development Corporation (BDC) Sabah digesa terus memperkukuh peranannya serta meneroka peluang baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu penting dalam memastikan BDC terus memainkan peranan berkesan dalam menyokong pembangunan ekonomi dan pelaburan di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada BDC Sabah yang diketuai Datuk Johnny Mositun bersama rombongan di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa serta perancangan BDC dalam menyokong pembangunan ekonomi dan pelaburan di Sabah.
Masidi merakamkan penghargaan atas kunjungan berkenaan serta menghargai komitmen BDC dalam menyokong usaha pembangunan negeri.

































