Suasana ketika Langkah Jiwa Merdeka sempena Program KMJG 2026 daerah Telupid.
TELUPID: Lebih 7,500 langkah berjaya dilalui peserta menerusi Program Langkah Jiwa Merdeka sebagai salah satu pengisian bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2026.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam itu bukan sahaja menguji ketahanan peserta, malah memberi peluang untuk menyantuni beberapa kluster melibatkan kerajaan, rumah ibadat, komuniti, pendidikan, perindustrian dan keselamatan di sepanjang laluan.
“Sebentar tadi kita nampak perjalanan tersebut hanya mengambil masa lebih kurang satu jam tapi kita berjaya sebenarnya melangkah sejauh lebih daripada 7,500 langkah.
“Kepayahan yang dirasai ketika perjalanan itu bagaimanapun tidak setanding dengan kesusahan yang dilalui negarawan terdahulu dalam usaha mendapatkan kemerdekaan,” katanya ketika berucap pada Program Langkah Jiwa Merdeka sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Peringkat Daerah Telupid, di Pekan Telupid, pada Jumaat.
Menurutnya, selepas lebih 60 tahun menikmati kemerdekaan, tanggungjawab masyarakat kini telah berubah daripada memperjuangkan kemerdekaan kepada mengisinya dengan bersama-sama membentuk dan mengekalkan perpaduan supaya negeri dan negara kekal makmur.
Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat Telupid terus menzahirkan kecintaan kepada negara dan negeri dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Sabah.
“Kalau boleh kibar sepuluh Jalur Gemilang, Alhamdulillah. Kalau tak boleh kibar sepuluh, paling kurang kibarlah satu Jalur Gemilang dan satu bendera Sabah untuk kita sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan, sambutan Hari Sabah dan sehingga kita menyambut Hari Malaysia pada 16 September,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang perjalanan lebih 7,500 langkah berkenaan, pihaknya mendapati banyak bendera telah dikibarkan dan tidak menemui bendera yang dikibarkan secara terbalik.
Program berkenaan turut disertai pelajar SMK Telupid bersama peserta konvoi, dengan laluan meliputi ke SK Pekan Telupid serta beberapa lokasi di sekitar Pekan Telupid.


































