Julita (tengah) bersama para hadirin mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah pada program tersebut.
MATUNGGONG: Sambutan Hari Sabah menjadi ruang untuk rakyat Sabah menghargai sejarah, identiti dan budaya negeri, selain mengenang kedudukan Sabah dalam pembentukan Malaysia, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata, pada masa sama, rakyat Sabah perlu terus memperkukuhkan semangat sebagai rakyat Malaysia.
“Kita bukan sahaja sebuah negeri yang berdaulat, tetapi kita juga menghormati negara kita sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Kita mempunyai peranan untuk memastikan negara ini kekal sebagai sebuah negara yang boleh kita hidup bersama, dan kita juga mempunyai peranan untuk memastikan negara ini terus bergerak sebagai sebuah identiti yang cemerlang,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Hari Sabah Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 di Dewan Terbuka Pekan Matunggong, hari ini.
Dalam pada itu, Julita menyeru masyarakat menyokong inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang” dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
Beliau berkata, kibaran bendera merupakan simbol penyatuan rakyat berbilang kaum di bawah satu identiti sebagai rakyat Malaysia.
Beliau turut mengingatkan supaya Jalur Gemilang yang rosak atau lusuh digantikan dengan bendera baharu.
Mengenai media sosial, Julita menggesa masyarakat mengamalkan sikap “semak sebelum percaya dan semak sebelum berkongsi” serta mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum menyebarkannya.


































