Suasana bacaan Yasin dan Tahlil, Doa selamat serta Doa Kesyukuran.
KOTA KINABALU: Lebih 1,000 jemaah menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H/2026M di Masjid Negeri Sabah di sini, pada Jumaat.
Majlis yang disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu bermula sebelum solat fardhu Jumaat yang diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil oleh Suhaidi, kemudian diikuti doa kesyukuran yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Usai solat fardhu Jumaat, majlis diteruskan dengan solat sunat hajat sebelum Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP), Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW 1448H menyantuni para jemaah yang hadir.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin; Pembantu Menteri KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir.


































