PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama): Kehadiran individu di premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
JPN dalam hantaran di laman sosialnya memaklumkan pelbagai jenis perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi disediakan jabatan termasuk kepada individu bukan warganegara bergantung kepada jenis urusan dijalankan.
“Terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang sememangnya melibatkan bukan warganegara termasuk urusan pendaftaran kelahiran serta perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan,” menurut hantaran itu.
Hantaran itu dimuat naik sebagai maklum balas kepada dakwaan kehadiran individu warga asing di premis JPN yang mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan. — BERNAMA


































