KOTA KINABALU: Peminjam Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif rebat menerusi pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos ini.
Program itu merupakan inisiatif khas Kumpulan Yayasan Sabah bagi menghargai peminjam yang komited membuat pembayaran balik pinjaman pengajian di samping memupuk budaya pembayaran yang mampan.
Melalui program tersebut, peminjam ditawarkan kadar rebat lebih menarik mengikut beberapa kategori bagi menggalakkan lebih ramai melunaskan tanggungjawab mereka, sekali gus menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.
Tiga kategori rebat ditawarkan di bawah Program Rebat Budi Madani 2026.
Kategori pertama menawarkan rebat 30 peratus kepada peminjam yang mahu melunaskan keseluruhan baki pinjaman dan tergolong dalam kategori Aktif Bayar, iaitu mereka yang membuat pembayaran secara konsisten.
Kategori kedua pula menawarkan rebat 25 peratus kepada peminjam yang ingin menjelaskan keseluruhan baki pinjaman tetapi tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar.
Bagi peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran biasa, mereka layak menikmati rebat sebanyak 20 peratus.
Menurut Yayasan Sabah, program rebat yang dilaksanakan tahun lalu berjaya meningkatkan kesedaran peminjam untuk melaksanakan pembayaran balik pinjaman, sekali gus merekodkan kutipan pinjaman pengajian tertinggi sejak penubuhan Yayasan Sabah iaitu sebanyak RM8 juta.
Pemberian insentif itu juga merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial Kumpulan Yayasan Sabah bagi membantu meringankan beban kewangan peminjam.
Selain itu, kadar rebat yang lebih tinggi kepada peminjam kategori Aktif Bayar diberikan sebagai penghargaan atas komitmen dan disiplin mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan.
Seiring pelaksanaan program itu, Yayasan Sabah turut membuka kaunter khas kepada peminjam yang berminat menyertainya melalui siri jelajah di beberapa lokasi.
Jelajah pertama akan diadakan pada 6 Ogos dari jam 9 pagi hingga 3 petang di Foyer Bilik Kapalai dan Manukan, Aras 2, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, diikuti sesi kedua pada 8 Ogos dari jam 5 petang hingga 10 malam di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.
Jelajah kedua akan berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos di Tapak Tamu Pekan Daerah Papar, manakala jelajah ketiga diadakan pada 22 hingga 23 Ogos di Tapak Tamu Pekan Daerah Kota Belud. Kedua-dua jelajah itu beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
Dalam pada itu, sebagai manifestasi keprihatinan terhadap peminjam, pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah turut memperkenalkan Program Pengampunan CTOS.
Menerusi program itu, peminjam ingkar yang telah disenaraikan dalam CTOS boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai berkenaan dengan membuat bayaran balik tunggakan pinjaman dalam jumlah yang munasabah.
Inisiatif itu dijangka membantu meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu menjelaskan tunggakan dalam jumlah besar sebelum nama mereka boleh dikeluarkan daripada senarai CTOS.
Sebagai alternatif bagi memudahkan urusan peminjam, mereka juga boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua program tersebut.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat melalui Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau menghubungi talian 011-33181088 serta e-mel bayaranbalikpinjaman@ysnet.org.my.

































