Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Pihak berkaitan dan kontraktor yang melaksanakan projek naik taraf jalan raya serta jambatan di laluan Tebobon–Tuaran–Tamparuli digesa mempertingkatkan pengurusan trafik dengan mengutamakan kebajikan pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kelewatan perjalanan harian yang kini menjejaskan produktiviti pekerja, pelajar, peniaga tempatan serta sektor logistik dan pelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun projek infrastruktur itu penting untuk pembangunan jangka panjang Sabah, kesusahan harian yang ditanggung orang ramai tidak seharusnya dipandang ringan.
“Kami menggesa agar agensi berkaitan dan kontraktor pelaksana mengambil langkah proaktif dalam menguruskan aliran trafik bagi meminimumkan gangguan. Kesejahteraan dan keselamatan harian pengguna jalan raya perlu sentiasa menjadi keutamaan sepanjang projek dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kecekapan pelaksanaan sesuatu projek infrastruktur awam bukan sahaja dinilai melalui hasil akhirnya, tetapi juga berdasarkan keupayaan mematuhi garis masa pelaksanaan serta standard keselamatan di tapak pembinaan secara konsisten.
Sehubungan itu, Kelab Komuniti Sayang Sabah mengemukakan tiga cadangan bagi menangani masalah kesesakan di laluan berkenaan, iaitu mempertingkatkan kawalan trafik menerusi penambahan papan tanda amaran, penyediaan laluan alternatif yang selamat dan penempatan petugas kawalan trafik terutama pada waktu puncak.
Selain itu, beliau berkata, maklumat mengenai kemajuan projek dan jadual gangguan trafik perlu disalurkan secara berkala kepada media dan orang ramai bagi memastikan ketelusan maklumat.
Pada masa sama, kontraktor juga perlu memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard keselamatan di tapak pembinaan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Steve berkata, apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi impak positif yang besar kepada Sabah, khususnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dari Tebobon hingga Tamparuli.
“Projek ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa perjalanan, malah bakal memperkasakan sektor pelancongan, melancarkan perkhidmatan logistik serta memacu ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut memohon pengguna jalan raya supaya terus bersabar, sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pembinaan sepanjang projek dilaksanakan.
Katanya, sebagai sebuah pertubuhan masyarakat sivil, Kelab Komuniti Sayang Sabah akan terus memainkan peranan secara bebas dalam menyuarakan aspirasi rakyat, di samping memastikan aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban sentiasa dipelihara oleh mana-mana pihak yang melaksanakan projek awam di Sabah.


































