James Ratib
PAITAN: Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) Daerah Paitan 2026 menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat, pemimpin dan agensi kerajaan, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di kawasan itu.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga ADUN Sugut, Datuk James Ratib berkata, pendekatan turun padang merupakan kaedah penting bagi memastikan suara serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian.
Beliau berkata, hubungan erat antara pemimpin dan rakyat perlu sentiasa diperkukuhkan melalui interaksi secara langsung, di samping memahami cabaran serta keperluan sebenar masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja menghimpunkan masyarakat, malah membuka ruang kepada interaksi secara langsung antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan dalam usaha bersama membangunkan kawasan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Menurut beliau, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri melalui kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni.
Katanya, perpaduan tidak seharusnya dilihat sebagai satu slogan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, semangat gotong-royong serta kesediaan masyarakat untuk bekerjasama demi kepentingan bersama.
Dalam aspek pendidikan, James berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, pendidikan merupakan kunci utama dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, manakala penguasaan sains, teknologi dan inovasi amat penting bagi memastikan anak-anak Sabah mampu bersaing dalam dunia yang semakin berkembang.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan usaha meningkatkan akses pendidikan, memperkasa kemahiran generasi muda serta memperluaskan penggunaan teknologi dan inovasi agar masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal, tetapi turut dipengaruhi oleh kekuatan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Paitan agar terus mengekalkan semangat kebersamaan serta memainkan peranan bersama dalam menyokong usaha pembangunan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
James diwakilii pada acara anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di Dewan Terbuka Pekan itu oleh Setiausaha Politik beliau, Justinus Jalang.
Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) Daerah Paitan 2026 diadakan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti, memperkukuhkan jaringan kerjasama serta menyampaikan mesej perpaduan dan keharmonian kepada masyarakat setempat.
Kapsyen: Justinus yang mewakili James melawat reruai pameran sempena Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) Daerah Paitan 2026.
































