Redonah beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu.
KOTA KINABALU: Dua pertubuhan yang mewakili wanita serta pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda hari ini bagi membincangkan peluang kerjasama untuk memperkasa wanita menerusi keusahawanan dan pembangunan kemahiran.
Kunjungan itu melibatkan Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu (Konduan Tobilung) yang diketuai Pengerusinya, Rusiah Salintap bersama Setiausaha, Christina Saidi serta rombongan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Langkon yang diketuai Pengetuanya, Timis Sambadi.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya di kawasan luar bandar.
Redonah berkata, Sedcovest komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan wanita menerusi pelbagai kursus, latihan kemahiran, bimbingan perniagaan serta program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan syarikat.
“Wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negeri. Justeru, mereka perlu diberi peluang, pendedahan dan latihan yang berterusan agar mampu mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyambut baik cadangan kerjasama bersama Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu dan SAANS Langkon untuk menganjurkan program latihan keusahawanan, pembangunan produk tempatan serta pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung.
Menurutnya, gabungan nilai budaya dan keusahawanan mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat, di samping memastikan warisan masyarakat terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Sementara itu, kedua-dua rombongan merakamkan penghargaan kepada Redonah atas kesediaannya menerima kunjungan hormat tersebut dan berharap jalinan kerjasama itu dapat direalisasikan menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada wanita serta komuniti di Sabah.
































