Azizah Mohd. Dun
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun tampil dengan pendirian tegas bahawa hak 40 peratus Sabah tidak boleh terus dilengah-lengahkan dengan alasan teknikal, termasuk keputusan ‘stay of execution’ oleh mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa tindakan menangguhkan rundingan hanya mencerminkan kegagalan politik untuk menghormati hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. ‘Stay’ bukan bermaksud rundingan juga perlu dihentikan. Jika benar ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak yang sepatutnya dinikmati sejak dahulu lagi, namun terus dinafikan melalui pelbagai alasan yang tidak munasabah.
“Ini bukan tuntutan baharu. Ini hak yang telah lama tertangguh. Berapa lama lagi rakyat Sabah harus menunggu? Sampai bila hak ini mahu dipinggirkan?” katanya dengan nada keras.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan hak Sabah adalah satu bentuk pengabaian terhadap rakyat negeri ini yang juga merupakan sebahagian daripada Malaysia.
“Rakyat Sabah bukan rakyat kelas kedua. Kita berhak mendapat pembelaan yang adil. Jangan biarkan rakyat terus terkesan hanya kerana kelemahan membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Mengulas isu subsidi diesel yang dipolitikkan oleh segelintir pihak, beliau menolak keras naratif bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata.
“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan berniat memesongkan fakta. Hakikatnya, hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak. Jadi jangan pertikaikan hak kami untuk menerima manfaat daripada sumber sendiri,” katanya.
Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan keistimewaan Sabah tanpa memahami realiti sebenar kos sara hidup di negeri ini.
“Walaupun ada subsidi, rakyat Sabah tetap menanggung kos hidup yang lebih tinggi akibat dasar seperti kabotaj dan kos logistik. Jadi jangan bercakap seolah-olah Sabah ini terlalu ‘dimanjakan’,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa Sabah wajar diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri dan keperluan rakyat yang semakin meningkat.
“Jika benar mahu berlaku adil, Sabah bukan sahaja perlu pertahankan 25 kerusi sedia ada, malah wajar ditambah. Kita sepatutnya menghampiri prinsip satu pertiga bersama Sarawak,” tegasnya.
Beliau turut menuntut agar penambahan kerusi tersebut membuka ruang lebih besar kepada kepimpinan wanita.
“Wanita bukan sekadar pelengkap. Wanita adalah kekuatan sebenar hampir separuh pengundi negara. Jangan hanya beri kerusi, tetapi beri ruang menang – bukan sekadar kerusi ‘korban’,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan hak Sabah tidak akan berhenti dan akan terus diperjuangkan sehingga mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal maruah, hak dan masa depan rakyat Sabah.”

































